Saturday, December 19, 2015

Ummi maksudnya tidak boleh membaca?



Adakah mengatakan Nabi Muhammad saw seorang yg ummiy dengan maksud tidak boleh membaca dan menulis menjatuhkan martabat baginda saw?

Whatsapp yang berlegar mengatakan seorang ustaz yang amat cintakan nabi saw bermimpi berjumpa seorang tua yang mengajarnya bahawa sifat ummiy pada nabi saw bermaksud induk sumber ilmu. Memberi maksud ummiy tidak boleh membaca dan menulis itu kurang tepat dan menjatuhkan martabat kenabian baginda saw. 

Semua pendapat perlu dihormati selagi mana tidak bercanggah dengan alquran dan sunnah. Malah yang tidak menepati alquran dan sunnah juga harus dibahaskan dan diperbetulkan dengan berhikmah dan berakhlak. 

(Sebelum lupa, mimpi bukan sumber hukum kecuali mimpi nabi dan rasul.)

Selain dua makna ummiy yang disebutkan (induk ilmu dan tidak boleh membaca/menbaca) ada juga pandangan yang memberi maksud ummiy sebagai istilah yang diberikan kepada kaum selain ahli kitab. Ahli kitab maksudnya kaum yang mempunyai kitab. Kaum yang mempunyai kitab maknanya boleh membaca. Ahli kitab lawannya bukan ahli kitab. Bukan ahli kitab itu maksudnya tak diberikan kitab maka tak boleh membaca. Maka mereka ini digelar ummiy. Orang-orang yahudi dan nasrani menganggap masyarakat arab sebagai ummiy kerana tidak diturunkan kitab kepada mereka. 

Dengan kata lain, maksud ummiy itu ada beberapa. 

Mengambil makna ummiy sebagai tidak boleh membaca dan menulis tidak mengurangkan martabat kenabian Nabi Muhammad saw. 

Sebaliknya keadaan ini menguatkan lagi kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda saw. Ianya adalah mukjizat. 

Jika Nabi saw boleh membaca dan menulis, akan adalah ruang untuk musuh-musuh Islam menuduh bahawa ajaran islam ini adalah hasil pembacaan Nabi saw terhadap kitab-kitab terdahulu. Manakala Al-Quran itu merupakan hasil karangan Nabi saw. 


Sebaliknya, jika Nabi saw tidak mampu membaca dan menulis, maka daripada mana datangnya ilmu pengetahuan, sejarah umat terdahulu, hukum hakam, berita-ghaibiyyat (dibaca: Al-Quran) yang Nabi saw terangkan kepada kaumnya? 

Tentunyalah tidak lain dan tidak bukan semua itu diwahyukan kepada Baginda saw oleh Allah yang Maha Mengetahui, Pencipta alam maya Yang Maha Agung. 

Tiada keraguan. 

Semasa peristiwa wahyu pertama diturunkan, kita membaca sirah (rujuk : sahih bukhari) yang menyebutkan bahawa apabila Jibril as menyuruh Nabi saw membaca, baginda menyatakan 
ما أنا بقارئ. 
"Saya tidak tahu membaca"

Rujuk:

Semasa perjanjian hudaibiyah, berlaku peristiwa Suhail bin Amru wakil kuffar makkah tidak setuju perkataan 'Muhammad rasulullah' ditulis dalam perjanjian dan mahu ditukarkan kepada 'Muhammad ibni Abdillah'. Apabila Saidina Ali enggan memadamkan perkataan tersebut, Rasulullah saw meminta ditunjukkan kepada Baginda saw perkataan berkenaan lalu Baginda saw sendiri memadamnya. Ini bermaksud Baginda saw tidak mengenali dan membaca perkataan yang tertulis pada lembaran perjanjian itu. 

Rujuk: arraheeq almakhtum

Akhirnya, saya ingin pesan sekali lagi bahawa pandangan dan hujah-hujah ini bukan niat untuk menolak pendapat-pendapat lain, atau mengatakan pendapat yang lain salah. Sebaliknya diperbahaskan sebagai sebahagian daripada proses percambahan ilmu. 

Semuanya boleh diterima dan berdiri di atas hujah masing-masing. 

Tolong jangan guna tulisan saya ini untuk berkata pada orang lain, "pendapat anda salah, pendapat kami yang betul!"

والله أعلم