Wednesday, January 06, 2016

Hari-hari terakhir



Menghitung hari-hari terakhir di BPI. Empat tahun di sini daripada jumlah keseluruhan 10 tahun di KPM. BPI adalah bahagian keempat saya selepas SBP, BPSH dan IPGM. 

Barang semua sudah masuk kotak. Insyaallah ahad ini terus dibawa ke Perak. 

Friday, January 01, 2016

Tanggungjawab baharu





31 Disember 2015, tengahari, saya dipanggil untuk ke bilik pengarah BPI. 

Tujuan: menerima surat pelantikan sebagai pengetua di SMA Shamsul Maarif Al-Wataniah, Tg Piandang, Perak. Tarikh kuat kuasa: 4 Januari 2016. 

Alhamdulillah. 

Perasaan? Bercampur baur. 

Terharu kerana diberikan kepercayaan. 

Teruja untuk menempuh cabaran baharu. 

Seronok sebab balik kampung. 

Sedih kerana bakal meninggalkan rakan-rakan di BPI dan KPM amnya. 

Sedih kerana tak dapat meneruskan kuliah sirah saya di Surau Almizan P8, Surau Annajah P9, Surau Bangi Perdana, Surau Jubli Perak dan Surau Abdul Rahman bin Auf (ketiga-tiganya di Bandar Baru Bangi). 

Lagi sedih kerana terpaksa meningalkan qaryah saya, Presint 8, Putrajaya. 9 tahun saya di sini. Surau Almizan adalah rumah kedua saya. Jemaah Almizan adalah keluarga saya. 

Setelah 20 tahun berkhidmat di luar Perak (2 Mei 1995 saya mula bertugas di SMK Bukit Gading, Sg. Buloh Selangor), saya dapat berbakti dan membantu anak negeri kelahiran saya. 

Insyaallah saya akan lakukan yang terbaik. Motto saya "Bahagia Membantu" akan saya praktikkan sepenuhnya insyaallah

والله المستعان

Thursday, December 31, 2015

Pemurahnya dia!


Surau Al-Amin yang baharu telah digunakan bermula Mac 2015. Panjang kisah pembinaan surau ini. Niat di hati saya, ingin tulis buku ala travelog tentang bagaimaa tertegaknya surau tersebut. 

Tapi bukan kali ini. Kali ini ingin cerita sikit sahaja. 

Ada seorang manusia yang amat pemurah yang menyumbang kepada dana pembinaan surau. Beliau seorang telah menderma RM170 ribu!

Patutlah Allah beri beliau kekayaan yang melimpah ruah. Saya juga maklum banyak lagi tempat yang menerima bantuannya. Alhamdulillah, saya bertemu dengan seorang individu yang mempunyai semangat Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. 

Semalam saya terima satu cek lagi berjumlah RM21,600.00. Surau memohon sumbangan untuk aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan bagi sepanjang tahun 2016. Sebulan RM1000 darab 12 bulan maka jumlahnya R12,000. 

Surau juga memohon membeli empat buah khemah arab "arabian tent" untuk kegunaan semasa kenduri kendara atau majlis-majlis besar. RM2400 x 4 = RM9600. 

Jumlah semua: RM21,600.

Saya menyatakan hasrat surau pada beliau secara verbal terlebih dahulu. Beliau minta surau buat surat untuk rekod. 

Saya serahkan surat pada beliau waktu isyak sehari sebelumnya. Isyak malam tadi saya dapat cek. Jumlah penuh!

Pemurahnya beliau!

Semoga Allah mengurniakan beliau dan keluarga segala kebaikan di dunia dan akhirat. Aminnnn. 


Tuesday, December 29, 2015

Ronda kampung



Dahulu kala saya sering membawa anak-anak ronda-ronda kampung naik motor. 

Lama tak buat. Kali ini dapat peluang pinjam motor mail, biras saya. 

Saya bawa Aisyah dan Maryam ke pt jawa. Tembus ke parit sg dungun. Seberang tali air ke parit sungai dungun atas. Balik ke parit haji amin. 

Pemandangan cantik subhanallah. Padi sudah mula dituai. Deruman mesin padi kedengaran. 

Anak-anak gembira. Alhamdulillah. 

Sunday, December 27, 2015

Kosong waktu zohor dan asar

-GAMBAR HIASAN-

Surau atau masjid, pekan atau kampung, waktu zohor dan asar kosong. Tiada azan. Tiada jamaah. 

Adakah semua lelaki dalam qaryah bekerja? Keluar sebelum subuh, balik sebelum maghrib?

Kalau masa cuti? Adakah semua lelaki dalam qaryah pergi kenduri? Atau ziarah orang sakit? Atau buat lawatan?

Hukum solat jemaah ini fardu kifayah. Maksudnya, jika ada sekurang-kurangnya dua orang dalam satu kampung mendirikannya di musolla (masjid/surau) mereka, maka terlepaslah kefarduan itu atas setiap ahli qaryah. 

Namun jika tidak ada seorangpun mendirikan solat berjemaah di kampung tersebut di musolla mereka, maka semua individu dalam kampung iti berdosa!!

Mashaallah!!! Besar sungguh kewajipan solat berjemaah. Dan besar lagi pahala sesiapa yang mendirikannya, walaupun berdua, di surau kampung mereka. Mereka menyelamatlan satu kampung daripada berdosa kepada Allah!!!

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya, daripada Abu Darda':

أن النبي (ص) قال: ما من ثلاثة في قرية ولا بدو لا تقام فيهم الصلاة، إلا قد استحوذ عليهم الشيطان، عليكم بالجماعة فإنما يأخذ الذئب من الغنم القاصية.

Nabi SAW bersabda: Tiadalah tiga orang dalam sebuah kampung ataupun di padang pasir tidak didirikan dalam kalangan mereka solat berjemaah, kecuali mereka akan disesatkan oleh syaitan. Hendaklah kamu berjemaah. Sesungguhnya serigala akan menyerang kambing yang bersendirian. 

Ulama juga menyatakan dalil kefarduan berjemaah ini dengan membawa ayat 102 surah annisa' yang menyuruh tetap didirikan solat berjemaah walaupun dalam keadaan ketakutan (khauf) terutamanya peperangan. Jika dalam khauf pun mesti solat jemaah, inikanlah pula dalam keadaan aman. 

Masalah ini biasanya agak kurang berlaku di surau-surau bandar atau taman, berbanding di surau, malah masjid-masjid kampung. Tidak semua. Sebahagian kecil. 

Tapi tetap perlu difilirkan secara serius bagaimana untuk menyelesaikan isu besar ini. 


Saturday, December 26, 2015

Kenduri di Ipoh


Hari ini 26 hb dis, kami sekeluarga ke Ipoh. Kak N dan Abg Mie (kakak An) mengadakan majlis pertunangan anak mereka Laila. Lawannya orang KL. 

Selepas majlis, saya ke dewan STAR. Tn Hj Gulam, rakan NPQEL mengahwinkan anaknya. 

Abg Zaki juga rakan NPQEL jauh datang dari Terengganu. Hormat!!

Positif atau negatif?


Timbalan pengarah bahagian tempat saya bekerja jatuh sakit. Kami anak-anak buah ini hantar pesanan ringkas dalam group. Doakan beliau sihat. 

Beliau jawab setiap pesanan. Berterima kasih. Siap dengan nama pegawai yang menghantar. Kecuali saya. Beliau tak kenal nombor hp saya. Pegawai yang masuk ke bahagian selepas sayapun beliau ada nombornya. Nombor saya tak register. 

Ha ha. Nampaknya saya terpaksa kenalkan diri. Dan hubungi beliau lebih kerap. Lapor status kerja. Bagitahu masalah. 

Mungkinkan saya dianggap tak ada kerja atau tak buat kerja?

Atau mungkin juga dianggap efisien sebab boleh selesaikan masalah-masalah kerja tanpa perlu libatkan bos-bos?

Friday, December 25, 2015

Kenyang dan lapar



وعن عائشة رضي الله عنها قالت: ((ما شبع آل محمد منذ قدم المدينة من طعام برٍّ ثلاث ليال تباعًا حتى قُبض)) رواه الشيخان

"Tidak pernah kenyang keluarga Rasulullah SAW semenjak tiba di Madinah dari makanan yg baik tiga malam berturut-turut sehingga beliau (saw) wafat"

Riwayat imam Bukhari dan imam Muslim
..................
Muhasabah:

Kita dan keluarga jarang lapar;

Rasulullah SAW dan keluarga jarang kenyang. 

.......….......
Saya perlu belajar bila orang menjemput, "mai la makan", 

untuk berkata,
"Terima kasih. Saya belum lapar"