Friday, November 20, 2015

Mahu hadir yang mana?

(Gambar hiasan)

Seorang pemimpin organisasi sememangnya perlu hadir dalam banyak mesyuarat/ acara dalam satu-satu masa.

Maka timbul dilema, mesyuarat yang mana satu perlu beliau sendiri hadir, dan yang mana satu cukup untuk wakilnya sahaja yang hadir. 

Biasanya pemilihan ini berdasarkan siapakah pemimpin yang lebih besar (vvip) yang akan hadir sama dalam acara berkenaan. Sebagai contoh, pengarah akan hadir ke acara yang dirasmikan oleh ketua pengarah. 

Kebiasaan itu mungkin kita boleh kaji semula. Apa kata jika kehadiran ini kita dasarkan kepada 2 soalan ini;

1) apakah isu yang boleh diselesaikan sekiranya kita hadir; dan
2) apakah maklumat/kemahiran/ sikap baharu yang ingin kita sampaikan atau terapkan dalam pertemuan tersebut. 

Kita boleh susun acara-acara ini mengikut senarai keutaamaan berdasarkan magnitud isu yang dapat diselesaikan ataupun tahap kepentingan perkara yang hendak disampaikan. 

Soalan:
Apakah isu yang dapat diselesaikan atau idea yang hendak disampaikan semasa seorang pengarah mengiringi ketua pengarahnya?

Atau ada acara lain yang boleh pengarah  tersebut hadir yang memberi impak yang lebih besar pada isu atau idea baharu berkenaan?


Thursday, November 19, 2015

Ubat lewat

(gambar hiasan)

Mesyuarat yang anda kendalikan sering tidak bermula tepat pada masanya kerana ahlinya lewat sampai.

Anda dah nasihat, tegur, sindir, pujuk, tulis memo ingatan mesra, suruh buat surat tunjuk sebab. 

Tapi masih lewat juga. 

Maka apa kata cuba kaedah yang kawan saya en fathul cadangkan ini. 

Mulakan mesyuarat anda dengan mukadimah ini,

"Mari sama-sama kita mulakan mesyuarat kita ini dengan membaca SURAH AL-'ASR"

Bagus idea ini. Sayapun teruja untuk mencuba. 

Wednesday, November 18, 2015

Rezeki anak



Selalu kita dengar ungkapan 'rezeki anak'. Maksudnya rezeki kita insyaallah akan tetap ada walaupun anak kita bertambah. Jangan takut jatuh fakir atau miskin apabila Allah beri rezeki anak kepada kita. Kena yakin.

Namun begitu, baru-baru ini 'rezeki anak' bukan ungkapan malah sebenarnya berlaku pada saya sekeluarga. 

Saya dan keluarga sedang makan di kedai. Kemudian datang seorang jiran yang kebetulan keluar minum. Beliau duduk bersama kami. 

Selesai makan, saya ke kaunter untuk bayar. Makanan kami dan minuman beliau. Jiran ini terus meluru ke kaunter, menghulurkan wangnya kepada juruwang sambil berkata, "Saya nak belanja Aisyah". 

Habis semua dibayarnya. 

Memang hari itu saya dapat berkongsi rezeki anak saya, Aisyah. 

Tuesday, November 17, 2015

Pegawai Khas


Antara tahun 2010 hingga 2012, saya berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada rektor IPGM pertama, Datuk (sekarang Tan Sri) Dr Haili bin Dolhan.

Bertugas sebagai pegawai khas memang mencabar. Nampak macam senang. Tapi hakikatnya sukar. Walau bagaimanapun pengalaman tersebut juga menyeronokkan. 

Yang paling saya hargai adalah kita dapat menyelami fikiran ketua kita. Dengan makna yang lebih luas, kita dapat belajar secara terus untuk berfikir seperti mana pemimpin atasan berfikir. 

Namun saya tetap ingat satu pesanan yang diberikan kepada saya pada awal-awal saya ditawarkan sebagai pegawai khas. Saya rangkumkan kepada tiga:

1) tugas utama saya adalah menjadi penghubung antara rektor dengan ipg (pengarah, penayarah, staf sokongan dan pelajar)

2) jangan jadi rektor nombor dua. Kita pula yang buat keputusan bagi pihak rektor. Orang nak jumpa rektor, kena jumpa kita dulu. Tak berapa nak sedar diri. 

3) jangan jadi kaki pukul rektor. Ada sikit tak kena, kita yang marah-marah. 

Rektor kurang layanan istimewa, kita marah pengarah ipg. Pengarah ipg tak tunggu di lapangan terbang, kita marah lagi. 

Kononnya kitalah orang yang paling prihatin terhadap bos kita. 

Masa post mortem benda ini kita 'highlight' sampai tak cukup permaidani pengarah ipg nak menyorok di bawahnya. 

Alhamdulillah saya dapat patuh kepada pesanan tersebut sehingga saya berpindah dan rektor bersara. 

Hingga kini hubungan saya dengan TS Dr Haili amat rapat, manakala hubungan saya dengan pegawai-pegawai ipgm, pengarah/timbalan/pensyarah IAB kekal harmoni. 

Nasihat saya kepada pegawai-pegawai khas yang baharu; SDA. - sama seperti di atas.






Monday, November 16, 2015

Bersangka baik



Dalam peristiwa hadisul ifki (fitnah terhadap saidatina aisyah ra), beberapa orang muslimin juga terjebak, terkesan dengan berita jahat yang dihamburkan oleh orang-orang munafiq. Namun Allah swt membersihkan mereka dengan dikenakan hukuman qazaf ke atas mereka. Manakala golongan munafiq yang terlibat tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Keluarga abu ayyub terselamat daripada fitnah ini, hasil daripada keyakinan dan sangka baik beliau terhadap orang mukmin, lebih-lebih lagi terhadap isteri nabi saw.

Apabila abu ayyub pulang kerumah suatu hari, ummu ayyub bertanya, "wahai abu ayyub, tidakkah engkau mendengar cerita tidak manis mengenai aisyah?"

Abu ayyub segera menjawab, "ya, saya ada mendengarnya. Sebenarnya semua itu adalah fitnah, dusta belaka."

"Jika aku bertanya kepadamu wahai ummu ayyub, jika engkau sendiri, adakah engkau tergamak melakukan perbuatan terkutuk tersebut?", soal abu ayyub kepada isterinya.

"Ohh, sesekali aku tidak lakukan!", kata ummu ayyub.

Abu ayyub berkata, "demi Allah, saidatina aisyah jauh lebih baik daripadamu wahai ummu ayyub!"

Sunday, November 15, 2015

Pemurahnya Rasulullah SAW

Seorang lelaki arab menceritakan, "Aku telah menghimpit Rasulullah SAW sewaktu perang Hunain. 

Pada ketika itu aku memakai sepatu yang tebal/keras, lalu aku terpijak kaki Baginda SAW. 

Rasulullah SAW lantas menyebatku dengan tongkat di tangannya sambil bersabda, "Dengan nama Allah, engkau telah menyakitiku".

"Maka pada malam itu aku tidur sambil menyesali diriku kerana aku telah menyakiti Rasulullah SAW. Hanya allah sahaja yg tahu bagaimana Aku menghabiskan malam itu".

"Pada keesokan paginya aku mendengar seseorang menyeru,"mana sifulan?" 

Aku berkata pada diriku, "Demi Allah! Ini tentu ada kaitan dengan peristiwa semalam"

Aku berkata, "Maka akupun menuju kepada Rasulullah SAW dalam keadaan ketakutan. 

Rasulullah SAW bersabda,  "Engkau telah memijak kakiku semalam dengan kasutmu lalu menyakitiku, lalu akupun memukulmu dengan tongkatku. Maka ambillah 80 ekor kambing ini atas kejadian itu"

Hadis riwayat Ad-Daarimiy dan dikategorikan oleh Al-Albaaniy

Saturday, November 14, 2015

Mensucikan hati



YBhg Us Bakri Aziz berkuliah subuh di surau almizan pagi ini. Beliau menyampaikan 5 formula mensucikan hati yang dinyatakan oleh Syeikh Mustafa Bugha:

1) baca alquran dengan hati yang sedar
2) kosongkan perut
3) qiamullail
4) merintih kepada Allah waktu malam
5) bergaul dengan orang saleh
6) makan yang halal

Friday, November 13, 2015

Saudara Rasulullah SAW




Semasa melawat Pameran Rasulullah SAW bersebelahan dengan Masjid Nabawi di Madinah baru-baru ini, saya terkesima dengan hadis pertama yang terpambang indah menyambut tetamu yang hadir. 

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dengan sanad yang sahih. 

وقال الإمام أحمد في " مسنده " ( ج 10 ص 502 رقم 12517 ط دار الحديث ) : ثنا هاشم بن القاسم ، ثنا حسن ، عن ثابت ، عن أنس بن مالك ، قال : قال رسول الله – صلى الله عليه وسلم – :
" وددت أني لقيت إخواني " .
قال : فقال أصحاب النبي – صلى الله عليه وسلم – : أوليس نحن إخوانك ؟
قال : " أنتم أصحابي ، ولكن إخواني الذين آمنوا بي ولم يروني " .
( إسناده صحيح )


Sabda Rasulullah SAW: Aku ingin benar bertemu saudara maraku. 
Para Sahabat r.a bertanya, "bukankah kami ini saudara maramu wahai Rasulullah SAW?"
Jawab Baginda SAW, "Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Akan tetapi saudara maraku adalah mereka yang beriman denganku sedangkan mereka langsung tidak pernah melihatku".

Thursday, November 12, 2015

Jom amal surah al-ikhlas

عن معاذ بن أنس الجهني (ر) قال رسول الله (ص) : منقرأ: قل هو الله أحد عشر مرات بنى الله له قصرا في الجنة. - رواه أحمد والطبراني في الأوسط وصححه الألباني في صحيح الجامع

Daripada muaz bin anas aljuhani ra beliau berkata: Rasulullah saw bersabda: barangsiapa membaca "qul huwa allahu ahad - surah alikhlas" sepuluh kali, Allah akan membina untuknya sebuah istana di syurga. 

Hadis riwayat ahmad dan attabrani dalam al-awsat. Dan dikategorikan sahih oleh al-albani dalam sahih aljami'. 

Wednesday, November 11, 2015

Memuliakan Tetamu

Image result for olympic 2020 tokyo

Tokyo telah berjaya dipilih sebagai tuan rumah sukan Olimpik tahun 2020. Tokyo mengenepikan saingan terdekat mereka iaitu Istanbul dalam undian IOC tahun 2013. Bidaan telah dibuat pada tahun 2011. Ini menunjukkan persediaan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan paling berprestij ini telah bermula bertahun-tahun sebelum ini.

Salah satu persediaan yang dibuat oleh Tokyo adalah menghantar delegasi mereka ke Kuala Lumpur. Mereka bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur pada ketika itu Tan Sri Ahmad Phesal Talib. Tujuan mereka adalah untuk mengetahui apakah keperluan khusus bagi atlet-atlet beragama Islam!

Antara keperluan yang dinyatakan oleh Datuk Bandar adalah kepeluan tempat solat, kemudahan air di dalam tandas dan juga makanan halal.

Dalam lawatan beliau ke tokyo baru-baru ini, Tan Sri Ahmad Phesal mendapati kemudahan-kemudahan tersebut memang telah disediakan.

Memuliakan tetamu adalah nilai universal yang dipandang tinggi oleh semua manusia.

Namun hanya Islam sahaja yang mengaitkan nilai ini dengan akhirat. Ini menjadikannya lebih bernilai bagi seseorang muslim.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه

Bermaksud: (Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya)





Tuesday, November 10, 2015

Duta Islam



Kuliah subuh di surau almizan presint 8 kali ini amat istimewa. 

Tan Sri Ahmad Phesol Talib, mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memberi kuliah. 

Beliau memang ahli qaryah kami. Sebelum-sebelum ini, semasa menjawat jawatan KSU kementerian wilayah, beliau kerap memberi tazkirah. Khatib jumaat pun selalu. Bila jadi Datuk Bandar beliau pindah ke KL. 

Sekarang beliau sudah bersara dan kembali ke pangkuan kami. 

Untung kami jemaah surau. 

Kuliah beliau memang amat menarik. Bersemangat. Bercakap melalui pengalaman. Beliau mengupas agama islam dari sudut praktikal. 

Beliau sering sebut, kita orang islam mesti jadi duta pada agama kita, supaya keindahan dan kesyumulan agama ini boleh tampak jelas kepada manusia sejagat. 

Terima kasih TS. Kami tak sabar untuk mendengar lagi daripada TS. 

Monday, November 09, 2015

Silaturrahmi








Semalam kami ke Kampar. Hantar uma ke rumah abg badli. 

Kami ambil peluang untuk ziarah pakcik jamil dan makcik om, teman sebilik semasa haji. Mereka di Malim Nawar. 

Kami berpeluang melawat tinggalan kubu jepun di kampung tersebut. 

Aisyah, anak keempat kami amat teruja. Rupa-rupanya dia suka sejarah. 

Lepas ni boleh bawa anak-anak ke muzium lebih kerap insyaallah. 

Sunday, November 08, 2015

Ikut-ikutan


Dalam surah al-a'raf ayat 138&139, Allah swt menceritakan perihal bani israel sebaik sahaja mereka diselamatkan daripad firaun. 

Sebaik sahaja tiba di sinai mereka bertemu dengan satu kaum yang menyembah berhala dan menganggap berhala-berhala itulah tuhan yang menolong, melindungi dan memberi rezeki kepada mereka. 

Lantas sebahagian daripada bani israel pergi mengadap Nabi Musa as dan meminta baginda juga membuatkan bagi mereka tuhan berhala sepertimana yang disembah oleh kaum tersebut. 
Nabi Musa menegur mereka dan menyifatkan mereka sebagai kaum yang jahil. 

Maka kita jangan jadi seperti bani israel. Semua yang orang lain kata baik, semuanya kita ikut. Kenalah tapis dulu dengan tapisan agama. Tapis dengan alquran dan sunnah. 

Saturday, November 07, 2015

Sunat vs wajib


Dengar dato' abu hasan din alhafiz di tv. 
Soalan: apa perkara yang sunatnya lebih baik daripada yang wajibnya?
Jawapan: salam

Friday, November 06, 2015

Bahasa Melayu



Pada hari selasa 3 november, saya menghadiri forum sempena bulan bahasa  peringkat KPM. 
Saya amat tertarik dengan pandangan YBhg Prof Dato' Teo Kok Seong, ahli panel pertama. Beliau pakar dalam linguistik Bahasa Melayu. 
Prof Dato' menyebut tentang jati diri bahasa Melayu. Beliau mahu supaya Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai simbol fungsional. 
Beliau juga menegur mengenai lunturnya jati diri bahasa Melayu dengan memberikan contoh beberapa jenama kereta nasional. Jika dahulu ada Waja, Perdana, Kancil, sekarang ini jenama-jenama daripada khazanah bahasa Melayu tidak ada lagi. Alasannya mungkin jenama sedemikian tidak ada tempat di pasaran antarabangsa. Maka keluarlah Alza, Savvy, Axia dsb. 

Thursday, November 05, 2015

1 entri blog setiap hari?



Saya berazam untuk latih diri menulis setiap hari. Azam ini adalah untuk ubat penyakit saya yang malas menulis. Lebih tepat lagi: suka tangguh-tangguh menulis. Kalau saya tidak dapat ubati penyakit ini, pastinya saya sukar menyiapkan MA atau PhD. Ini bercakap melalui pengalaman. 
Maka azam saya: tulis 1 entri dalam blog ini setiap hari. Tentang apa? Tentang apa sahaja. Saya perlu dapatkan tabiat "habit" tersebut. 
Doakan saya. 

Sunday, June 22, 2014

Fokus

Sewaktu muda, Imam Yahya ibn Yahya Al-Laithi berguru kepada Imam Malik di Madinah. 

Suaru hari, seekor gajah telah dibawa masuk ke Madinah. Oleh kerana hampir keseluruhan penduduk Madinah, terutama yang muda-muda tidak pernah melihat gajah sejmur hidup mereka, maka kecohlah bandar Nabi SAW ketika itu. 

Murid-murid Imam Malik juga meluru keluar dari masjid, meninggalkan Imam Malik keseorangan. 

Kecuali seorang anak muda. Dialah Yahya ibn Yahya. 

Apabila Imam Malik bertanya kepadanya kenapa tidak keluar pergi melihat haiwan tersebut seperti rakan-rakannya yang lain, Yahya menjawab,

"Tuan Imam, saya keluar dari negeri saya datang ke Madinah ini, bukannya bertukuan untuk melihat gajah. Saya datang semata-mata untuk menuntut ilmu daripada tuan"

Semenjak dari itu, Imam Malik memberikan perhatian yang istimewa kepada Yahya ibn Yahya. 

Fokus


Sibuta tidak ditanya

Saya memenuhi undangan seorang rakan untuk hadir ke sesi Nouman Ali Khan. Beliau telah beli 20 tiket, rm200 setiap satu untuk diberikan kepada keluarga dan sahabat. Rm4000.

Saya kagum. 

"Banyak tuan belanja untuk ini?," saya bertanya. 

Beliau senyum dan berkata, "Ustaz, setiap orang akan ditanya tentang nikmat yang Allah berikan padanya. Allah tak akan tanya apa yang tidak ada pada kita,

"Orang buta tak akan ditanya tentang penglihatannya", sambung beliau penuh falsafah. 

Patutlah beliau semakin kaya. Hartanya berkat. Makin banyak sedekahnya, makin berganda hartanya. Makin maju bisnesnya. 

Thursday, February 16, 2012

seminar penterjemahan

lama benar tak pos berita. menghadiri seminar penterjemahan: hak penterjemah, hak cipta dan etika dalam penterjemahan pada 16 feb 2012 di wisma itnm, wangsa maju.

Monday, July 18, 2011