Saturday, October 06, 2007

SUKA DAN DUKA

Serombongan pedagang sedang melalui padang pasir di waktu malam yang gelap. Sampai di satu lembah, tiba-tiba muncul satu cahaya. Dari cahaya itu kedengaran satu suara,

"Wahai musafir, kutip seberapa banyak batu di keliling kalian dan segera keluar dari lembah ini. Jangan kamu berhenti hingga kamu sehingga fajar menyinsing. Pada ketika itu, kamu semua akan saling berduka dan bergembira!"

Ketakutan mendengar suara tersebut, dengan tergesa-gesa mereka mengutip batu-batu seperti yang diarahkan. Ada yang mengambil seketul batu, ada yang dua ketul, ada yang mengambil satu bunjut. Mereka terus menunggang unta mereka sepantas mungkin, takut akan diapa-apakan oleh suara tadi.

Mereka menunggang jauh. Sampai waktu fajar menyinsing, barulah mereka berhenti. Mereka letih. Unta mereka sudah tidak mampu berjalan lagi. Mungkin disebabkan beban batu yang dibawa.

Para pedagang tersebut turun dari tunggangan mereka. Ingin membuang semula batu-batu yang membebankan unta mereka.

Mereka sungguh terkejut kerana batu-batu tadi telah bertukar menjadi ketulan emas!

Mereka benar-benar berasa gembira dan berduka pada masa yang sama. Gembira kerana mereka menjadi kaya dengan serta merta. Berduka kerana tidak mengambil lebih banyak batu.

Bulan ramadan ini, begitulah yang sepatutnya kita rasa apabila mencari keberkatan lailatul qadr. Kalau kita bertarawih, kita sudah mendapat sebahagian pahala lailatul qadr. Kita akan gembira.

Pada masa yang sama, kita akan berduka sebab kita tidak menggunakan peluang itu untuk menambah amal ibadat, yang juga bermakna bertambahnya pahala yang berlipat ganda.

Oleh itu, dalam sepuluh malam terakhir ini, sama-samalah kita tambahkan amalan. Kalau malam ramadan biasa kita baca satu mukasurat Quran, tambahkanlah jadi dua mukasurat. Kalau sebelum ini kita tak pernah sedekah dalam tabung masjid masa pergi tarawih, lepas bolehlah kita masukkan seringgit dua setiap kali kita tarawih.

Selamat mengecapi lailatul qadr.