Sunday, October 07, 2007

MENYAMPAIKAN HAJAT

Abdullah bin Mubarak adalah seorang ilmuan Islam dalam bidang hadis. Atas ketokohannya dalam bidang itu, beliau telah mendapat gelaran Amirul Mukminin fil Hadis (Amirul Mukminin dalam bidang Hadis). Beliau tinggal di Kufah.

Satu musim haji, beliau telah ke Mekah untuk mengerjakan haji. Dalam perjalanan beliau bertemu dengan seorang perempuan yang memungut bangkai seekor itik. Daripada cara perempuan itu membersihkan bangkai tadi, Abdullah dapat mengagak bahawa perempuan itu akan menjadikan bangkai itu sebagai makanan.

Abdullah bin Mubarak menegur,
"Wahai puan, bukankan bangkai itu haram dimakan?"

Perempuan itu membalas, "Wahai tuan, tidakkah tuan pernah mendengar bahawa
الضرورات تبيح المحذورات؟
(Darurat mengharuskan yang dilarang?)

Perempuan itu lantas menceritakan bahawa keluarganya sudah tiga hari tidak menjamah makanan lantaran kemiskinan.

Abdullah bin Mubarak terus menyerahkan untanya bersama semua bekalan yang ada kepada perempuan tersebut. Beliau tidak sampai ke Mekah. Beliau berjalan pulang ke Kufah. Dua bulan berjalan, barulah tiba di Kufah.

Sampainya beliau di Kufah, beliau terkejut kerana diberikan sambutan yang luar biasa oleh penduduk Kufah. Mereka berterima kasih kepadanya atas bantuan yang diberikan olehnya semasa mereka mengerjakan haji di Mekah.

Abdullah hairan kerana beliau langsung tidak sampai ke Mekah. Bagaimana mungkin perkara ini berlaku!

Pada malam itu, beliau bermimpi. Rupa-rupanya Allah telah mengutus malaikat yang merupainya, membantu para jemaah haji berkenaan.

Apabila kita menolong orang lain kerana Allah, Allah akan menolong kita pula insya-Allah.