Monday, October 08, 2007

CABARAN SEBENAR

Ramadan semakin hampir melabuhkan tirai. Sekarang kita memang boleh banyak beribadat. Kita boleh bertarawih. Kita mampu baca Quran.

Cabarannya adalah selepas Ramadan nanti. Mampukah kita meneruskan amalan Ramadan?

Paling kurang, mari kita berazam untuk baca satu mukasurat al-Quran setiap hari.

Amalan yang paling disukai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit, itu kata Nabi S.A.W.

أحب الأعمال عند الله أدومها وإن قل

Sunday, October 07, 2007

TURKI

Presiden Turki hari ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran sebelum terpilih. Isu utama: Isterinya bertudung.

Alasan mereka: Turki negara sekular. Isteri calon presiden bertudung, memaparkan imej Islam, bukan imej sekular. Oleh itu dia tidak wajar dipilih sebagai presiden Turki. Kalau nak jadi presiden juga, isterinya kenalah buka tudung, papar imej sekular.

Dari sudut negatif, kita akan berkata: Masya-Allah! Teruk betul rakyat Turki ini. Terang-terang menolak agama. Mereka ini Islam pada nama sahaja. Agama hanya tradisi, sesuai untuk letak di muzium, macam masjidnya juga.

Tapi kalau dilihat dari sudut positif, kita mungkin boleh berkata: Rakyat Turki memang hebat. Kuat berpegang dengan kepercayaan sekular mereka. Langsung tiada kompromi dalam hal yang melibatkan 'akidah' mereka itu.

Mari kita berimaginasi sejenak...

Katakanlah Turki ini mengaku negaranya negara Islam. Dengan kekuatan pegangan yang ditunjukkan itu, pastinya ayat di atas akan menjadi begini:

Turki negara Islam. Isteri calon presiden tidak bertudung, memaparkan imej sekular, bukan imej Islam. Oleh itu dia tidak wajar dipilih sebagai presiden Turki. Kalau nak jadi presiden juga, isterinya kenalah pakai tudung, papar imej Islam.

...

SAIDATINA KHADIJAH R.A.

Diriwayatkan dari Aisyah, beliau berkata: "Rasulullah hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga Baginda menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu, lalu aku berkata: Bukankah beliau seorang wanita tua, yang Allah tlh menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka Baginda marah sampai berkerut dahinya, kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh Khadijah tlh beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dgnnya Allah mengurniakan zuriat kepada ku dan tidak dengan wanita yang lain. Aisyah berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya buat selama-lamanya."

MENYAMPAIKAN HAJAT

Abdullah bin Mubarak adalah seorang ilmuan Islam dalam bidang hadis. Atas ketokohannya dalam bidang itu, beliau telah mendapat gelaran Amirul Mukminin fil Hadis (Amirul Mukminin dalam bidang Hadis). Beliau tinggal di Kufah.

Satu musim haji, beliau telah ke Mekah untuk mengerjakan haji. Dalam perjalanan beliau bertemu dengan seorang perempuan yang memungut bangkai seekor itik. Daripada cara perempuan itu membersihkan bangkai tadi, Abdullah dapat mengagak bahawa perempuan itu akan menjadikan bangkai itu sebagai makanan.

Abdullah bin Mubarak menegur,
"Wahai puan, bukankan bangkai itu haram dimakan?"

Perempuan itu membalas, "Wahai tuan, tidakkah tuan pernah mendengar bahawa
الضرورات تبيح المحذورات؟
(Darurat mengharuskan yang dilarang?)

Perempuan itu lantas menceritakan bahawa keluarganya sudah tiga hari tidak menjamah makanan lantaran kemiskinan.

Abdullah bin Mubarak terus menyerahkan untanya bersama semua bekalan yang ada kepada perempuan tersebut. Beliau tidak sampai ke Mekah. Beliau berjalan pulang ke Kufah. Dua bulan berjalan, barulah tiba di Kufah.

Sampainya beliau di Kufah, beliau terkejut kerana diberikan sambutan yang luar biasa oleh penduduk Kufah. Mereka berterima kasih kepadanya atas bantuan yang diberikan olehnya semasa mereka mengerjakan haji di Mekah.

Abdullah hairan kerana beliau langsung tidak sampai ke Mekah. Bagaimana mungkin perkara ini berlaku!

Pada malam itu, beliau bermimpi. Rupa-rupanya Allah telah mengutus malaikat yang merupainya, membantu para jemaah haji berkenaan.

Apabila kita menolong orang lain kerana Allah, Allah akan menolong kita pula insya-Allah.

KEITH ALLISON

Islam tidak perlu dipertahankan.
Islam hanya perlu diperjelaskan.
-Keith Allison, Ahli Kongres Muslim US

10 ORANG YANG DIBENCI IBLIS

  1. Nabi Muhammad S.A.W.
  2. Orang alim yang beramal dengan ilmunya
  3. Pembaca al-Quran yang mengamalkannya
  4. Muazzin yang mengajak orang ke masjid
  5. Orang yang mengasihi anak yatim dan orang miskin
  6. Penyayang
  7. Orang yang tunduk kepada kebenaran
  8. Pemuda yang gigih mentaati Allah
  9. Orang yagn makan harta yang halal
  10. Orang yang solat berjemaah

10 ORANG YANG DISUKAI IBLIS

Daripada dialog antara Nabi Muhammad S.A.W dengan Iblis Laknatullah:

  1. Pemimpin yang zalim
  2. Orang yang angkuh
  3. Orang kaya yang tidak peduli ke mana hartanya disalurkan
  4. Orang alim yang membenarkan orang zalim memerintah
  5. Peniaga yang menipu timbangan
  6. Peniaga yane menyorokkan barang untuk menaikkan harga
  7. Penzina
  8. Pemakan riba
  9. Orang yagn bakhil
  10. Peminum arak

SYARAT KERJA JADI IBADAH

Syarat kerja menjadi ibadah ada 4:

  1. niat yang betul
  2. perlaksanaan menurut syariat
  3. natijah (hasil) pekerjaan adalah baik
  4. tidak mengabaikan ibadah asas

IMAM HAMBALI DAN ILMU

Semasa Imam Hambali hampir wafat, beliau tetap meneruskan jihadnya dalam bidang ilmu. Beliau akan berkata, dan anak-anak muridnya akan menulis.

Setelah beliau wafat, telah dikumpulkan semua hasil ilmunya itu. Semuanya cukup muatan penuh 12 ekor unta!

MENGASIHI GURU

Apabila kita mengasihi guru, bermakna kita mengasihi zuriat kita sendiri.

-Awang Had Salleh

Saturday, October 06, 2007

DOA

Dalam rancangan tafsir al-Quran IKIM, Us Zahazan Mohamad menceritakan bahawa Saidina Omar pernah berkata:

إذا أُلهمْثُ بالدعاء، فكانت الإجابة معه

Apabila aku dilihamkan untuk berdoa, makbulnya doa itu ada bersamanya.

Perasaan untuk berdoa bukan hanya datang masa lepas sembahyang sahaja. Masa lain juga boleh datang perasaan ini.

Kalau datang perasaan itu, baiknya kita terus berdoa. Tak perlulah duduk dan angkat tangan dua belah, baru boleh berdoa. Kalau sedang bawa kereta, macamana nak angkat dua belah tangan, kan?

Doa saja dalam hati, "Ya Allah, ........."

Allah Maha Mendengar..

HEBAT, KAN?

Dalam surah al-qadr, berapa kali disebut ليلة القدر?
Jawapan : 3 kali

Berapa huruf dalam perkataaan ليلة القدر?
Jawapan : 9 huruf.

3 x 9 = 27

Ulama selalu sebut bahawa antara malam yang paling tinggi kebarangkalian untuk berlakunya lailatul qadr adalah malam 27 ramadan.

Hebat, kan?

SUKA DAN DUKA

Serombongan pedagang sedang melalui padang pasir di waktu malam yang gelap. Sampai di satu lembah, tiba-tiba muncul satu cahaya. Dari cahaya itu kedengaran satu suara,

"Wahai musafir, kutip seberapa banyak batu di keliling kalian dan segera keluar dari lembah ini. Jangan kamu berhenti hingga kamu sehingga fajar menyinsing. Pada ketika itu, kamu semua akan saling berduka dan bergembira!"

Ketakutan mendengar suara tersebut, dengan tergesa-gesa mereka mengutip batu-batu seperti yang diarahkan. Ada yang mengambil seketul batu, ada yang dua ketul, ada yang mengambil satu bunjut. Mereka terus menunggang unta mereka sepantas mungkin, takut akan diapa-apakan oleh suara tadi.

Mereka menunggang jauh. Sampai waktu fajar menyinsing, barulah mereka berhenti. Mereka letih. Unta mereka sudah tidak mampu berjalan lagi. Mungkin disebabkan beban batu yang dibawa.

Para pedagang tersebut turun dari tunggangan mereka. Ingin membuang semula batu-batu yang membebankan unta mereka.

Mereka sungguh terkejut kerana batu-batu tadi telah bertukar menjadi ketulan emas!

Mereka benar-benar berasa gembira dan berduka pada masa yang sama. Gembira kerana mereka menjadi kaya dengan serta merta. Berduka kerana tidak mengambil lebih banyak batu.

Bulan ramadan ini, begitulah yang sepatutnya kita rasa apabila mencari keberkatan lailatul qadr. Kalau kita bertarawih, kita sudah mendapat sebahagian pahala lailatul qadr. Kita akan gembira.

Pada masa yang sama, kita akan berduka sebab kita tidak menggunakan peluang itu untuk menambah amal ibadat, yang juga bermakna bertambahnya pahala yang berlipat ganda.

Oleh itu, dalam sepuluh malam terakhir ini, sama-samalah kita tambahkan amalan. Kalau malam ramadan biasa kita baca satu mukasurat Quran, tambahkanlah jadi dua mukasurat. Kalau sebelum ini kita tak pernah sedekah dalam tabung masjid masa pergi tarawih, lepas bolehlah kita masukkan seringgit dua setiap kali kita tarawih.

Selamat mengecapi lailatul qadr.

MAKSIAT

Saidina Umar Al-Khattab berkata:


لا تنظر إلى صغر المعصية ولكن انظر إلى من عصيت

Jangan lihat pada kecilnya maksiat, lihat pada besarnya siapa yang engkau lakukan maksiat itu terhadapNya (Allah S.W.T)

Thursday, October 04, 2007

ANAK DEMAM

Semalam anak aku yang bongsu itu demam selesema. Isteri aku minta aku belikan actifed di farmasi. Tup tup, farmasis cuti. Tak dapat aku beli. Punyalah pendek akal aku, aku beli ubat batuk. Buat apa ubat batuk, anak aku selesema.

Balik rumah isteri aku tegur. Kenapa aku tak pergi saja ke klinik belakang farmasi. Di situ aku boleh beli actifed. Lepas tarawih aku pergi sekali lagi ke klinik. Beli.

Alhamdulillah, hari ini anak aku itu dah kering sedikit selesemanya. Puas dia main dengan anak kawan yang datang buka puasa tadi.

Kita usaha, Allah yang perkenan.

SEMANGAT BARU

Aku ada penyakit. Buat kerja selalu tak habis. Berhenti tengah jalan. Buat blog ini pun macam itu juga. Semangat kejap. Lepas itu sejuk.

Sempena ramadan ini timbul semangat baru. Nak menulis semula. Kalau sehari satu cerita, setahun 360 cerita. kalau sepuluh tahun, bergunilah cerita yang aku dapat tulis.

Hari ini bagi tetamu makan buka puasa. Aku doa semoga Allah terima sedekah kami ini. Aminn..

BUKA PUASA

Lama sudah aku tak buka blog ini. Hari ini datang pula semangat untuk menulis semula. Mungkin sebab hari ini kami sekeluarga jemput kawan-kawan buka puasa di rumah.

Riuh rendah juga tadi. Sekarang kawan-kawan dah balik. Sunyi semula.

Aku bangga dengan isteri aku. Rajin masak dan jamu kawan-kawan. Semoga Allah bagi balasan syurga untuk dia. Sedang mengandung sarat pula tu. Tapi langsung tak halang dia untuk masak dan jamu orang. Alhamdulillah aku dikurniakan keluarga sebegini.