Abdullah bin Salam adalah agamawan Yahudi yang menganut agama Islam semasa peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W.
Beliau sendiri mendedahkan sikap dan sifat kaumnya, Yahudi.
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Yahudi adalah kaum pendusta. Sekiranya mereka tahu yang aku telah menganut Islam, mereka akan menuduhku yang bukan-bukan. Sembunyikan aku, dan tanyakan kepada mereka mengenai aku".
Rasulullah S.A.W. pun menjemput sekumpulan orang Yahudi dan mengajak mereka kepada Islam, agar mereka mengaku kerasulan Baginda S.A.W. seperti mana yang termaktub dalam kitab mereka.
Namun kumpulan Yahudi itu berkata, "Demi Allah, kami tidakpun mengetahui tentang kenabianmu wahai Muhammad".
Mereka berdusta. Dalam Al-Quran menyebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 146 bermaksud:
"Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kitab, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad S.A.W.) sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka. Dan sesungguhnya sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui".
Seterusnya Nabi S.A.W. bertanya kepada mereka tentang Abdullah bin Salam.
Jawab mereka, "Beliau adalah pembesar kami, anak kepada pembesar kami. Beliau adalah ulama kami, anak kepada ulama kami".
"Apa pandangan kamu semua jika Abdullah bin Salam sendiri masuk Islam?"
"Demi Allah, sekali-kali dia tidak akan berbuat demikian!"
Rasulullah S.A.W. lantas meminta Abdullah bin Salam keluar dari tempat persembunyiannya dan memberitahu perkara sebenar mengenai tindakannya memeluk Islam.
"Aku menyaksikan bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasullullah".
Pada ketika itu, terus kumpulan Yahudi itu menjerit, "Dialah orang yang paling jahat dikalangan kami, anak orang yang paling jahat. Dia orang yang paling jahil dikalangan kami, anak orang yang paling jahil!"
Kata Abdullah bin Salam, "Aku telah katakan wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta".
(Riwayat Ahmad dan al-Bukhari)